Thursday, 12 July 2012

KHABAR GEMBIRA TEGAKNYA KEMBALI KHILAFAH


Kita menyaksikan bahawa perjuangan untuk menerapkan hukum Allah melalui berdirinya kembali Negara Khilafah mulai meningkat dari hari ke hari di seluruh dunia walaupun halangan-halangan yang melintang bukan alang kepalang. Di samping menghadapi dominasi kekuatan negara-negara kafir Imperialis seperti Amerika Syarikat dan Britain dan sekutu-sekutu mereka seperti Perancis, Itali, Australia, Russia, Jerman dan beberapa yang lain, halangan yang kuat juga sebenarnya datang dari penguasa kaum Muslimin sendiri yang berkiblatkan Barat, yang memerintah dengan sistem kufur dan yang merupakan pengkhianat kepada Allah dan RasulNya. Halangan lain juga datangnya dari sebahagian ‘ulama’, gerakan Islam dan juga umat Islam yang masih kental dengan pemikiran sekular, yang cintakan demokrasi dan hidup untuk mencari dunia. Lebih buruk, ada sebahagian di kalangan ulama, gerakan Islam dan umat Islam itu sendiri yang menganggap tegaknya Khilafah hanyalah suatu khayalan, malah ada yang menentang, memerli dan memperlekehkan usaha-usaha mendirikan semula Khilafah.

Bapa korupsi, tua-tua mcm dia ni harus buat ibadat banyak-banyak, dan melakukan solat taubat nasuha, madey penzalim dan pengikut acuan barat.

Sebahagian kaum Muslimin pula masih terlalu rendah kesedaran mereka terhadap ajaran Islam sebagai ideologi yang mencakup akidah dan syariat serta enggan atau tidak peduli akan masalah dan peristiwa-peristiwa yang berlaku ke atas saudara-saudaranya yang lain. Dalam masa yang sama, para pejuang Khilafah turut menghadapi tentangan yang sengit dari para penguasa berupa pemantauan, penangkapan, penculikan, penyeksaan hinggalah ke tahap pembunuhan. Namun kesemua ini tidak sedikit pun menggentar atau memalingkan para pejuang yang ikhlas ini daripada perjuangan yang mulia ini. Hal inilah yang sebenarnya tidak dapat difahami oleh Barat yang merupakan musuh Islam dan juga tidak difahami oleh sebahagian orang yang menjadi penentang Khilafah, kenapakah para pejuang ini tetap tegar dengan perjuangan ini. Mereka tidak faham apakah faktor yang sebenarnya menjadi pendorong kepada kaum Muslimin memperjuangkan Khilafah sehingga para pejuang ini tetap istiqamah di dalam perjuangan, walaupun nyawa menjadi galang gantinya.

Sesungguhnya tidak ada faktor pendorong kepada perjuangan tersebut kecuali kerana ia adalah sebuah kewajipan! Malah, mendirikan Khilafah merupakan sebuah kewajipan yang termasuk di dalam perkara ma’lum min ad-deen bi dharurah (tidak boleh ada uzur untuk tidak mengetahuinya) seperti mana kewajipan solat, puasa, zakat dan haji. Apa yang menjadi keanehan adalah, terdapat umat Islam yang tidak memperjuangkannya! Ini kerana, kewajipan menegakkan Khilafah ini diistinbat (digali) dengan jelas dari Al-Quran, Hadis dan Ijma’ Sahabat. Malah kesemua imam mazhab dan ulama muktabar sepakat akan kewajipan mendirikannya. Justeru, jika umat Islam meyakini (dengan akidah) dan memahami bahawa menegakkan Khilafah adalah wajib, maka mereka seharusnya berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkannya tidak kira betapa sukar dan betapa besar sekalipun halangannya!

Itu dari satu sisi. Dari sisi yang lain, apa yang menjadi pendorong kepada pejuang Khilafah ialah adanya bisyarah (khabar gembira) yang telah dijanjikan oleh Allah dan RasulNya tentang kembalinya Islam sebagai agama yang akan memerintah dunia di bawah naungan Khilafah. Sumber bisyarah ini datangnya dari Al-Quran dan al-Hadis itu sendiri. Sesungguhnya Al-Quran dan Al-Hadis, selain merupakan sumber hukum, juga merupakan sumber berita/informasi yang benar lagi sahih tentang apa yang terjadi, baik sebelum manusia dicipta di muka bumi, apa yang terjadi di muka bumi mahupun apa yang akan terjadi setelah binasanya bumi. Nas-nas mubasyirat inilah yang sentiasa menjadi pendorong, pembangkit dan penguat semangat, pembuang segala perasaan putus asa, kecewa atau kesedihan di kalangan para pejuang Khilafah. Ini kerana, dengan akidah yang mereka miliki, mereka yakin dengan sepenuh keyakinan bahawa Allah dan RasulNya tidak akan sekali-kali memungkiri janji. Di antara janji-janji tersebut yang merupakan bisyarah kepada kita semua adalah:-

Pertama:

Janji Allah SWT untuk memenangkan Islam atas seluruh agama dan ideologi yang ada di seluruh dunia. FirmanNya, “Dialah yang mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar dimenangkan atas semua agama. Cukuplah Allah sebagai saksi” [TMQ al-Fath (48):28]. Ini bermakna, Islam pasti akan zahir di muka bumi dan mengalahkan seluruh millah (agama/ideologi/pemikiran) kufur yang ada. Allah akan memenangkan Islam dan kaum Muslimin atas negara-negara dan kaum yang saat ini mengembangkan ideologi Kapitalisme, Sosialisme-Komunisme, mahupun pemikiran-pemikiran kufur lainnya. Allah SWT mengulangi lafaz yang sama dalam ayat-ayat lain seperti Surat at-Taubah (9):33 dan Surah as-Saf (61):9. Hal ini telah pun berlaku dahulu tatkala Rasulullah SAW dan para Khulafa’ memimpin dunia dan akan pasti berlaku sekali lagi apabila Khilafah memimpin dunia untuk kali yang kedua.

Kedua:

Janji Allah untuk meneguhkan Islam dan kaum Muslimin serta menterbalikkan keadaan yang buruk menjadi baik. FirmanNya, “Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya unutuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun denganKu. Dan barang siapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” [TMQ an-Nur(24):55]

Ibn Katsir menjelaskan ayat ini bahawa, “ini adalah janji Allah SWT kepada RasulNya bahawa Dia akan menjadikan umatnya sebagai para penguasa di muka bumi yakni para pemimpin dan wali (penguasa wilayah), menjadikan negeri mereka makmur dan menjadikan umat manusia tunduk kepada mereka. Allah juga akan menggantikan ketakutan mereka dengan rasa aman [Tafsir Ibn Katsir]. Janji Allah ini telah pun terbukti di masa Rasulullah dan para Khulafa’ menjadi pemerintah dunia. Namun, sejak kejatuhan Khilafah pada 28 Rajab 1342H hingga sekarang, umat Islam tidak lagi menjadi penguasa dunia kerana meninggalkan Islam. Justeru, janji Allah ini akan pasti berlaku sekali lagi apabila umat Islam yang berjuang untuk menegakkan Khilafah diberi kemenangan oleh Allah SWT di dalam menegakkan pemerintahan Islam ini.

Ketiga:

Allah akan mendatangkan kaum yang dicintainya. Jika perubahan tidak dapat dilakukan kerana putus asanya masyarakat, ketidakpedulian kaum Muslimin terhadap keadaan mereka dan saudara-saudara mereka, sebahagian bersifat munafik, murtad atau bergabung/bersama dengan orang-orang kafir dan zalim, rela hidup terhina di bawah dominasi kekuatan negara-negara kafir dan sistem kufur, maka Allah SWT akan mendatangkan/mengganti generasi yang ada dengan generasi Mukmin yang keimanannya kepada Allah sangat kuat, cintanya kepada Allah melebihi kecintaannya terhadap apa pun di dunia ini, yang ketaatan dan perjuangannya untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini tidak akan pernah pudar oleh tekanan atau halangan orang-orang yang memusuhi mereka. Allah SWT berfirman,

“Wahai orang-orang yang beriman, siapa sahaja di antara kalian murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah cintai dan mereka pun mencintai Allah, yang bersikap lembut terhadap orang Mukmin dan keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah dan yang tidak takut terhadap celaan orang-orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah yang diberikan kepada siapa sahaja yang dikehendakinya. Allah Maha Luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui” [TMQ al-Ma’idah (5):54]. Ibnu Katsir mentafsirkan ayat ini sebagai, “Allah SWT mengkhabarkan kekuasaannya yang besar. Siapa pun yang tidak mahu menolong agama Allah dan menjalankan syariatNya, maka Allah akan menggantikan mereka dengan orang-orang yang lebih baik, lebih kuat dan lebih lurus pendiriannya daripada mereka yang sebelumnya”. FirmanNya yang lain, “Jika kalian berpaling, nescaya Dia akan mengganti kalian dengan kaum yang lain dan mereka tidak seperti kalian” [TMQ Muhammad (47):38]. “Jika Allah menghendaki, nescaya Dia akan memusnahkan kalian wahai manusia dan Dia datangkan umat yang lain (sebagai ganti kalian)” [TMQ an-Nisa’ (4)133].

Masih banyak ayat Al-Quran yang lain sebagai mubasyirat bagi kaum Mukminin di mana Allah SWT menjanjikan kemenangan kepada mereka di dunia ini. Selain Al-Quran, terdapat banyak hadis yang menggambarkan dengan lebih rinci tentang berita kemenangan Islam, tersebarnya Islam ke seluruh penjuru dunia dan akan muncul kembali Negara Khilafah mengikut manhaj kenabian. Antaranya:-

Pertama:

Bisyarah mengenai tersebar luasnya Islam ke seluruh alam di mana Rasulullah SAW bersabda, “Islam pasti mencapai wilayah yang diliputi oleh siang dan malam. Allah tidak akan membiarkan rumah yang megah mahupun sederhana melainkan akan memasukkan agama ini (Islam) ke dalamnya dengan memuliakan orang-orang yang mulia dan menghinakan orang-orang yang hina; mulia kerana Allah memuliakannya dengan Islam; hina kerana Allah menghinakannya dengan kekafiran” [HR Ahmad].

Kedua:

Dikalahkan orang-orang Yahudi. Rasulullah SAW bersabda, “Tidak akan terjadi Kiamat hingga kaum Muslimin memerangi Yahudi sehingga kaum Yahudi itu bersembunyi di balik batu-batu dan pohon-pohon. Lalu batu dan pohon itu berseru, ‘Wahai Muslim, wahai hamba Allah, ini ada orang Yahudi bersembunyi di belakangku, ke mari dan bunuhlah dia” [HR Muslim]. Sejak jatuhnya Daulah Khilafah hinggalah ke hari ini, kaum Yahudi Zionis telah membangun kekuatannya dan bertempat tinggal di atas tanah kaum Muslimin yang dirampas mereka. Malah, mereka mengusir dan membunuh kaum Muslimin tanpa mengira anak-anak mahupun wanita, tua atau muda dan tanpa belas kasihan sedikit pun. Kaum Muslimin pula, sejak tiadanya Khalifah sebagai pemimpin, telah dipimpin oleh para penguasa yang bacul dan khianat yang sedikit pun tidak menunjukkan perlawanan terhadap Yahudi, malah sebahagiannya menyokong pula musuh Allah ini. Sebahagian besar dari umat Islam pula tidak mempedulikan masalah Palestin. Pasukan tentera yang ada juga terus kaku umpama patung-patung yang berdiri tegak di muzium-muzium, langsung tidak bergerak untuk berjihad ke Palestin. Inilah keadaan umat Islam sekarang!

Namun demikian, bagi Mukmin yang ikhlas dan yakin akan janji Rasulullah ini, mereka berusaha siang dan malam untuk mendirikan Negara Khilafah yang mana dengan adanya negara Khilafah nanti, pasukan tentera akan pasti digerakkan untuk menghapuskan entiti haram Yahudi sekali gus membebaskan Palestin dan tanah-tanah lain umat Islam yang sedang dirampas oleh puak kuffar. Golongan yang merupakan pejuang Khilafah yakin bahawa kemenangan dari Allah ke atas Yahudi akan segera tiba tatkala berdirinya Khilafah di mana jihad akan pasti dilancarkan demi membebaskan tanah Islam yang dirampas golongan terlaknat itu. Kemenangan akan pasti tiba di mana kaum Muslimin akan berperang dan membunuh Yahudi seperti hadis di atas. Namun yang pasti, kemenangan tersebut akan direalisasikan di bawah kepimpinan seorang Khalifah yang adil dan berani, yang akan melancarkan jihad untuk memerangi orang-orang Yahudi. Kemenangan tidak akan dapat dicapai di bawah penguasa Muslim sekarang yang bacul lagi khianat, yang tunduk kepada Amerika, yang memerintah negara-bangsa dengan sistem kufur demokrasi dan yang memerintah di bawah bendera wathaniyyah.

Ketiga:

Kembalinya negara Khilafah Rasyidah ala minhaj nubuwah untuk kali yang kedua, selepas berlalunya zaman kediktatoran. Sabda Nabi SAW, “Di tengah-tengah kalian terdapat zaman kenabian, atas izin Allah ia tetap ada. Lalu Dia mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada zaman Khilafah Ala Minhaj Nubuwwah; ia tetap ada atas izin Allah. Lalu Dia mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada zaman Mulkan Adhan (kerajaan yang menggigit); ia tetap ada atas izin Allah. Lalu Dia mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada Mulkan Jabariyah (pemerintahan diktator); ia tetap ada atas izin Allah. Lalu Dia mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan kembali zaman Khilafah Ala Minhaj Nubuwwah. Kemudian baginda diam” [HR Ahmad].

Keempat:

Umat Islam akan menguasai seluruh dunia. Sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya Allah telah menampakkan (seluruh) bumi di hadapanku, sehingga aku (dapat) menyaksikan bahagian-bahagian timur dan baratnya. Dan sesungguhnya kekuasaan umatku akan menjangkau bahagian-bahagian bumi yang ditampakkan kepadaku” [HR Muslim, Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah dari Tsauban ra]. Apa yang pasti, dengan penguasa umat Islam yang ada sekarang, melalui pemerintahan diktator mahupun demokrasi di bawah nation-state, hal ini tentu sekali tidak akan dapat terjadi. Hal ini hanya akan terjadi apabila adanya sang Khalifah yang akan melancarkan dakwah dan jihad ke seluruh alam.

Walaupun terdapat banyak khabar gembira (bisyarah) akan kembalinya Khilafah, namun, perlu difahami di sini bahawa bisyarah ini tidak datang dengan sendirinya, tetapi wajib diusahakan!!! Keyakinan sahaja tidak ada gunanya jika tidak disertai dengan usaha agar bisyarah ini terwujud. Sesungguhnya pertolongan Allah dan kemenangan ini hanya akan diberikan kepada orang-orang yang berusaha menegakkan agamaNya, iaitu orang-orang yang ikhlas dan sungguh-sungguh berusaha di dalam mengembalikan semula kehidupan Islam melalui penegakan Daulah Khilafah.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Berdasarkan bisyarah yang begitu banyak dari Al-Quran dan As-Sunnah inilah, maka para pejuang Khilafah yang memahami dan meyakininya, tidak pernah kenal erti jemu dan putus asa di dalam berjuang untuk menegakkan hukum Allah melalui penegakan semula Daulah Khilafah. Walau bagaimana keras dan kuatnya permusuhan serta persekongkolan dan halangan yang datangnya dari Barat dan juga dari penguasa Muslim yang khianat, hal ini sedikit pun tidak akan melambatkan apatah lagi menggugurkan janji Allah dan RasulNya ini. Betapa kuat sekalipun tekanan dan penyeksaan oleh musuh-musuh Islam di dalam menyekat dan membasmi perjuangan menegakkan kembali Khilafah, hal ini tidak sedikit pun menggentarkan apatah lagi mematahkan semangat dan keimanan para pejuang Khilafah. Walau betapa kuat dan kerasnya celaan, sinis, putar belit, perli serta maki hamun dari orang Islam sendiri yang tidak mahukan Khilafah, hal ini tidak sedikit pun menggugat keyakinan dan keimanan para pendakwah pejuang Khilafah ini bahawa janji Allah akan pasti tiba jua. Persoalannya sekarang, apakah kalian ingin bergabung dan menjadi sebahagian dari barisan kaum Muslimin yang dimuliakan oleh Allah kerana berjuang untuk menegakkan agamaNya dan sekali gus merealisasikan janjiNya, atau ingin terus berdiam diri, malah menentang penegakan Khilafah dan hidup terhina di bawah kongkongan sistem dan pemerintahan kufur demokrasi?