Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yakin boleh menyumbang 12 kerusi Parlimen dari Johor bagi membolehkan Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Katanya, keyakinan itu dapat dilihat berdasarkan penerimaan rakyat di negeri itu dalam beberapa perjumpaan PR dan ceramah Pas yang mendapat sambutan yang hangat.
"... tugas yang besar ini dikatakan BN sebagai gali kubur, tapi saya anggap ia satu amanah yang perlu disanjung tinggi," katanya yang akan bertanding di Pulai.
Walaupun banyak pihak menyifatkan keputusan beliau bertanding di kubu kuat BN itu sebagai 'bunuh diri', namun ramai kenalannya termasuk sanak-saudara mengalu-alukan kepulangan beliau ke negeri kelahirannya.
"Rakan-rakan Cina dan India saya di sana buat alumni sambut keputusan saya untuk bertanding di Johor.
"... malah mereka juga banyak membantu saya membuat persiapan kempen nanti termasuk beri sumbangan perabot, bendera, buluh dan kayu," katanya.
Dalam pada itu, Lajnah Guaman Pas Pusat akan meletakkan peguam di setiap kawasan yang ditandingi Pas bagi membantu melancarkan proses PRU13.
Menurut Setiausaha Lajnah Guaman itu, Abang Ahmad Kardee Abang Masagus, 95 peratus barisan peguam itu terdiri daripada anak muda dan profesional bagi membantu calon Pas bertanding.
"Meraka akan ditempatkan di bilik gerakan dan lapangan kempen.
"...tujuan kami untuk memastikan PRU13 menurut batas perundangan. Kami menolak sebarang huru-hara, aktiviti tidak bermoral dan akan memastikan pilihan raya berlangsung aman," katanya.
Hari ini Pas mengumumkan lapan calon kerusi Parlimen.
Selain Salahuddin, nama lain ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang), Mohamad Sabu (Pendang), Datuk Paduka Husam Musa (Putrajaya), Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena)
Salahuddin Ayub (Pulai), Datuk Fauzi Shaari (Larut), Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah (Kuala Terengganu) dan Wan Aishah Wan Ariffin (Jempol).