Labels

Saturday 29 January 2011

Undi : - Pilih Cikgu Mala, Maka Tiada Rasuah...


 Mubarak yang baru pulang dari pejabat tanah daerah menghempaskan dokumen yang dipegangnya. Rasa marahnya belum hilang.
“Maaflah Encik Mubarak. Tanah ini syarikat bumiputera sudah masuk lubanglah. Kerajaan negeri sudah bersetuju hendak beri kepada syarikat itu,” kata Encik Razali, pegawai di pejabat tanah masih terngiang-ngiang di telinganya.
 
“Macam mana ini Encik Razali. Saya sudah lama memohon tanah itu. Kenapa tiba-tiba saja orang lain hendak potong jalan,” suara Mubarak hampa. 

“Maaflah saya tidak boleh buat apa-apa. Sekarang ini semua main politik,” kata akhir Razali sebelum Mubarak melangkah keluar dari pejabat pegawai muda itu. Mubarak memang berasa panas hati kerana dia telah lama berhajat memohon tanah itu untuk menjalankan projek ikan air tawar dan permohonannya hamper diluluskan. Oleh kerana terlalu yakin yang dia akan mendapat tanah, Mubarak telah membuat pinjaman bank bagi me-rialisasikan impiannya itu. Tetapi entah bagaiamana tanah yang sepatutnya bakal menjadi miliknya telah terlepas ke tangan orang lain. Mubarak tahu bahawa tanah tersebut diberikan kepada pemohon lain dengan bantuan orang dalam dan perkara yang sama yang dialaminya juga pernah berlaku kepada rakannya Sulaiman.

Akhirnya Mubarak nekad. Dia mesti melaporkan perkara itu kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR). Dia yakin orang dalam yang terlibat bukan calang-calang, pastinya pegawai yang berpengaruh dan berkedudukan tinggi. Dua hari kemudian, Mubarak kelihatan berjalan keluar dari pejabat BPR negeri. Dia baru saja selesai membuat laporan mengenai perkara yang menimpanya kepada Abdullah, seorang pegawai di pejabat BPR itu.


“Saya faham ini bukan rezeki saya. Tapi encik, saya yakin ada sesuatu yang tidak kena telah berlaku kerana permohonan saya itu sebenarnya sudah hampir berjaya. “Ini hitam putihnya,” jelas Mubarak kepada pegawai berkenaan ketika membuat laporan sambil menunjukkan dokumen-dokumen permohonannya. Seminggu kemudian, selepas meneliti maklumat yang diberikan oleh Mubarak dalam satu mesyuarat khas, Pengarah BPR negeri mengarahkan agar siasatan dijalankan. Abdullah dengan dibantu oleh seorang lagi pegawai BPR, K. Mohan ditugaskan untuk mengetuai siasatan.

“Kes ini melibatkan orang kenamaan. Kamu berdua perlu berhati-hati,” pesan Pengarah BPR kepada Abdullah dan K. Mohan. Siasatan kemudian dimulakan di pejabat tanah daerah berkenaan. Latar belakang syarikat bumiputera yang membeli tanah yang sepatutnya milik Mubarak disiasat dan maklumat awal mengenainya berjaya diperoleh. Pemilik syarikat tersebut Safuan mempunyai hubungan persaudaraan dengan salah seorang ahli politik berpengaruh negeri. Dan mengikut rekod-rekod sebelumnya, Safuan juga pernah terbabit dengan beberapa permohonan tanah terutamanya tanah pertanian.

Selepas berjaya membuat pemohonan dan pembelian atas nama syarikat bumiputra, status tanah pertanian yang dibeli itu akan ditukar kepada tanah perindustrian. Berdasarkan rekod, Safuan sebelum ini pernah menjadi pemilik kepada lima syarikat bumiputera dan membuat lima permohonan pembelian tanah pertanian milik kerajaan. Semua permohonannya diluluskan. Begitu juga permohonan untuk menukarkan status tanah-tanah tersebut kepada perindustrian, semuanya telah diluluskan. Tetapi kesemua syarikat tersebut telah dijual dan setiap
kali selepas menjual syarikatnya, dia akan membuka syarikat baru.

“Orang ini buka syarikat RM2 saja encik. Nama saja syarikat, tapi tiada modal. Syarikat itu sekadar untuk syarat dapat tanah. “Lepas berjaya beli, dia convert jadi tanah industri. Kemudian dia cari jalan jual pada syarikat bangsa asing untuk mendapatkan keuntungan besar,” kata salah seorang kakitangan di pejabat kerajaan negeri kepada Abdullah. Empat minggu kemudian di pejabat BPR negeri.

“Licik sungguh orang ini. Macam mana dia boleh senang-senang dapat kelulusan beli tanah kerajaan dan convert tanah itu,” kata K. Mohan kepada Abdullah sambil menunjukkan beberapa helai kertas maklumat yang diperolehnya. Abdullah hanya terdiam. Dia memikirkan yang Safuan berbuat demikian untuk mendapat keuntungan kerana tanah-tanah dengan status pertanian yang ditukarkan kepada tanah per-industrian, harganya akan berlipat kali ganda. Tetapi dia tidak mungkin berseorangan kerana dalang di sebalik kegiatannya mesti orang yang berpengaruh dan mampu meluluskan semua pemohonan Safuan. “Mohan, saya pasti ahli politik berkenaan terlibat dalam meluluskan permohonan tanah kepada individu tersebut.,” kata Abdullah kepada Mohan ketika mereka berjalan masuk ke bilik Pengarah BPR negeri untuk melaporkan hasil siasatan.

Selepas membaca laporan, pengarah BPR negeri mengarahkan Abdullah dan Mohan untuk meneruskan siasatan terhadap ahli politik terbabit. Pemilik syarikat tersebut (yang membeli tanah yang sepatutnya milik Mubarak) ditahan untuk membantu siasatan. Selepas beberapa minggu siasatan men-dapati ahli politik berkenaan mempergunakan Safuan untuk memohon dan membeli tanah kerajaan. Ahli politik tersebut kemudian akan meluluskan semua permo-honan Safuan menggunakan kedudukannya dalam kerajaan negeri. Dia juga meluluskan permohonan Safuan untuk menukarkan status tanah-tanah pertanian kepada tanah perindustrian. Kemudian selepas menjayakan rancangan tersebut, akan mencari pembeli yang menawarkan harga yang paling tinggi untuk tanah tersebut lalu menjualnya.

Bagaimanapun, tanah-tanah tersebut dijual atas nama syarikat untuk menutup kegiatannya. Selepas mendapat hasil jualan, keuntungan dibahagikan sama rata antara ahli politik berkenaan dan Safuan. “Kita akan tahan ahli politik itu malam ini juga,” kata Abdullah kepada Mohan selepas mendapat arahan daripada Pengarah BPR negeri. Esoknya, mahkamah negeri penuh sesak dengan wartawan dan orang ramai termasuk Mubarak sendiri berikutan pendakwaan ahli politik tersebut atas tuduhan rasuah. Ahli politik berkenaan dituduh mengikut Ordinan 22 Darurat Kuasa-Kuasa Perlu. Selepas perbicaraan dijalankan, ahli politik berkenaan didapati bersalah dan dihukum penjara selama dua tahun dan didenda sebanyak RM10,000. Mubarak yang membaca berita tersebut dalam akhbar-akhbar tempatan tersenyum lebar kerana harapannya untuk mengusahakan projek ikan air tawar kembali cerah.

Blog Pakatan Rakyat